Menyedari pentingnya pembinaan negara bangsa bagi sebuah negara yang berbilang kaum seperti Malaysia, Kementerian Pelajaran telah memilih “Guru Pembina Negara Bangsa” sebagai tema Hari Guru pada tahun ini. Keupayaan membina Negara Bangsa amat bergantung kepada keutuhan perkongsian nilai serta semangat patriotisme yang dapat dipupuk dan disuburkan dalam kalangan semua lapisan rakyat, terutama dalam kalangan generasi muda.
Menerusi semangat patriotisme, bangsa akan menjadi kuat, berani, mempunyai kekuatan mental, emosi dan fizikal dalam membentuk ketahanan negara. Nilai sosial seperti semangat kekitaan, perasaan saling hormat-menghormati, mengamalkan sifat toleransi, taat setia dan pengabdian yang tidak berbelah bagi terhadap negara wajarlah dipupuk dan diamalkan sejak di bangku sekolah dan menjadikannya budaya hidup masyarakat.
Membina Negara Bangsa merupakan Teras Strategik yang pertama dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 20062010. Bagi menjayakan Teras Strategik ini, pelbagai program dan projek yang berkaitan dengan kebahasaan, kesusasteraan, patriotik, serta seni, warisan dan budaya telah dirancang oleh pihak Kementerian. Ia bertujuan untuk memperkukuh perpaduan bangsa, membina identiti nasional, memperteguh semangat kebangsaan
serta membangunkan sumber manusia bagi mengisi keperluan negara. Semoga, dengan jati diri yang kental dan semangat patriotik yang tebal, akan lahirlah bangsa Malaysia yang utuh dan bermaruah.
Tugas membina negara bangsa melalui pendidikan tidak akan selesai. Sebaliknya ia semakin kompleks dan mencabar selaras dengan kemajuan yang tidak terbatas pada masa kini. Saya menyeru kepada semua guru supaya mempertingkatkan diri dengan ilmu dan kemahiran supaya dapat melaksanakan tanggungjawab dengan lebih berkesan. Ingatlah bahawa peranan kita sentiasa dinilai oleh masyarakat. Guru juga perlu memelihara akhlak dan budi pekerti supaya guru terus dihormati dan menjadi role model kepada anak didik dan masyarakat. Berkhidmatlah dengan penuh ikhlas. Teruslah berjuang membina negara bangsa kerana Malaysia amat memerlukan khidmat bakti para guru.
Selamat Menyambut Hari Guru 2009. Sekian.
RSS feed for comments on this post · TrackBack URI
Leave a reply
You must be logged in to post a comment.